Kelmarin, peminat muzik KPop dikejutkan dengan berita mengenai penyanyi idola, yang juga usahawan muda Seungri yang didakwa kerana menyediakan pelacur untuk pelabur asing di kelab peribadi miliknya.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Tetapi tidak sampai pun 24 jam selepas berita tersebut, dunia hiburan Korea Selatan sekali lagi gempar kerana anggota termuda kumpulan BigBang itu mengumumkan yang dia memilih untuk bersara daripada industri seni susulan siasatan jenayah ke atas dirinya membabitkan skandal seks termasuklah kes dadah dan rasuah.
Menerusi kemaskini dalam laman sosial Instagram miliknya, pemuda berusia 29 tahun itu memuat naik kenyataan panjang lebar menyatakan dia mengambil serius terhadap siasatan demi siasatan yang sudah dilalui sejak hujung bulan lalu dan yang bakal dijalani lagi kelak.
Justeru dia merasakan keputusan bersara adalah jalan terbaik demi menjaga kepentingan orang sekelilingnya. Dalam masa yang sama dia berusaha membersihkan semula nama dan reputasinya yang tercalar ekoran kontroversi tersebut.
“Saya rasa lebih baik bagi saya bersara daripada bidang hiburan pada masa ini,” tulisnya menerusi entri pada petang Isnin lalu.
“Saya mengambil serius siasatan ini demi membersihkan semua dakwaan dan spekulasi.
“Semenjak tercetus kontroversi ini, saya berhadapan kritikan teruk daripada orang awam sejak lebih sebulan lalu dan disiasat oleh semua pihak berkuasa di negara ini.
“Sehingga saya dilabel sebagai ‘pengkhianat negara’ dan tidak dapat menerima hakikat saya menjejaskan orang lain demi kepentingan diri.
“Saya tidak pasti sama ada saya mampu untuk berdepan dengan semua orang dalam tempoh 10 tahun ini. Saya minta maaf dan ingin berterima kasih kepada semua peminat,” tambahnya.
Terdahulu, Seungri dituduh melobi bakal pelabur dengan menawarkan perkhidmatan seks di beberapa kelab malam di kawasan mewah di Seoul. Susulan kontroversi itu, konsertnya yang dijadual berlangsung di Osaka, Jepun dan Indonesia pada bulan ini telah dibatalkan.
Pelacur, dadah dan rasuah
Mengimbas kronologi isu terbabit, pemilik nama sebenar, Lee Seung Hyun ini disoal siasat minggu lalu ekoran tersebar rakaman perbualan pada tahun 2015 menerusi aplikasi Kakoatalk, didakwa di antara bintang idola itu dengan seorang individu yang dipercayai pekerjanya, menerima arahan menyediakan beberapa orang gadis untuk melayan tetamu penting.
Namun Seungri mendakwa individu yang menyebarkan rakaman tersebut yang dipercayai seorang wartawan telah memanipulasi dan memalsukan butiran rakaman perbualan terbabit.
Sebelum itu, nama Seungri sudah mula panas selepas dikaitkan dengan kes pergaduhan serta terbongkarnya kegiatan penyalahangunaan dadah yang kerap berlaku di kelab malam Burning Sun sekitar November lalu.
Dia diketahui menggalas tanggungjawab sebagai pengarah eksekutif kelab hiburan yang terletak di Gangnam, salah satu kawasan elit di Seoul.
Kontroversi berkaitan kelab itu juga telah mengheret bintang berasal dari Gwangju ini yang dikatakan bersubahat ekoran pegawai kelab tersebut memberi rasuah kepada pihak polis bagi menutup kes insiden pergaduhan yang berlaku.
Bukan itu saja, dalam salah satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beberapa pengawai polis mengelap bahagian lantai di kelab tersebut yang dipenuhi darah akibat pergaduhan yang melibatkan seorang individu dikenali sebagai Kim.
Namun, menerusi satu kenyataan daripada pihak YG Entertainment iatu label dan pengurusan penyanyi itu menegaskan, Seungri tidak tahu menahu mengenai insiden tersebut kerana dia telah meletakkan jawatannya sebulan sebelum tercetusnya isu berkenaan.
“Saya minta maaf kerana tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab walaupun kontroversi berlaku di tempat saya. Sebagai selebriti, saya tidak memikirkan kata-kata saya secara mendalam dan saya cuai,” kata Seungri ketika mengadakan konsert solonya di Olympic Park, Seoul pada Februari lalu.
Pengakuan tersebut dibuat beberapa jam selepas seorang wanita keturunan Cina yang disyaki menyalahi undang-undang dengan menyediakan dadah di kelab tersebut secara sukarela telah menyerah diri di balai polis untuk disoal siasat.
Ekoran itu Seungri dipanggil pihak polis untuk menjalani siasatan dan turut menjalani ujian dadah. Bagaimana selepas sembilan jam menjalani prosedur siasatan, dia disahkan bersih daripada penggunaan dadah.
Didesak keluar Bigbang
Selepas tuduhan demi tuduhan terpalit kepadanya, Seungri mengumumkan dia akan memulakan latihan khidmat ketenteraan pada 25 Mac ini. Sesetengah pihak mendakwa, pemuda yang juga mendapat jolokan ‘Korea Great Gatsby’ (kerana gaya hidup mewahnya) ini seolah-olah sengaja menguar-uarkan tarikh kemasukannya ke kem tentera bagi mengalihkan perhatian daripada isu tersebut.
Sementara pihak polis memaklumkan siasatan terhadap pelantun lagu hit Strong Baby dan What Can I Do itu tetap akan diteruskan meskipun dia akan menjalani latihan sebagai askar pelatih.
Pesuruhjaya Agensi Polis Negara, Min Gap Ryong memberitahu pemberita bahawa pegawai-pegawainya tidak akan berhenti melakukan siasatan dan pihaknya akan meminta kerjasama daripada Kementerian Pertahanan Nasional.
Dek kerana marah dan kecewa dengan kontroversi yang melanda Seungri, pada 9 Mac lalu sebahagian peminat Bigbang mengambil tindakan mewujudkan petisyen mendesaknya menarik diri kerana sudah dianggap tidak layak lagi menjadi anggota kumpulan tersebut.
Bigbang merupakan antara kumpulan penyanyi lelaki paling popular dan berpengaruh Korea Selatan, menjual lebih 140 juta rekod di seluruh dunia sejak penampilan pertama pada 2006. Selain Seungri, kumpulan yang juga dikenali dengan jolokan Raja KPop itu dianggotai empat lagi ahli iaitu G-Dragon, T.O.P, Taeyang dan Daesung yang kini sedang menjalani latihan ketenteraan.
T.O.P dijangka akan menamatkan latihan pada Jun depan. G-Dragon akan terus menjalani latihan sehingga Oktober manakala Taeyang dan Daesung akan menamatkan latihan mereka pada November nanti.
Sementara itu, lapor Bloomberg pada Isnin lalu, ekoran skandal dan kontroversi yang tercetus telah menyebabkan saham agensi YG Entertainment menjunam sehingga 14.2 peratus. Ia merupakan tahap terendah sejak November 2018.
YG Entertainment merupakan satu daripada tiga agensi pencarian bakat terbesar industri hiburan di Korea.
Berikutan tindakan Seungri mengundur diri, wakil agensi tersebut memaklumkan pihaknya dalam proses meneliti perkara itu dan mengesahkan kontrak artis mereka itu secara rasminya masih belum tamat.











