DHDC rancang bina kompleks pelarian kanak-kanak - Utusan Malaysia

DHDC rancang bina kompleks pelarian kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS dalam negara selain perang saudara yang meletus menyaksikan ramai anak-anak kehilangan ibu bapa, sekali gus menjadi anak yatim pada usia muda.

Tanpa pelindungan dan sumber kewangan yang kukuh, anak-anak tersebut bakal hidup melarat di bumi sendiri sekiranya sesebuah negara itu masih tidak stabil dan bergolak.

Permasalahan seumpama itu bukan sahaja menyebabkan golongan kanak-kanak terbiar tanpa kasih sayang dan pembelaan sewajarnya, malah lebih membimbangkan apabila nasib serta masa hadapan mereka menjadi pertaruhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan sahaja tidak mempunyai tempat pelindungan sempurna, masalah kebajikan dan isu pendidikan pastinya akan menjadi persoalan utama kepada golongan tidak bernasib baik tersebut.

Pendidikan merupakan aset utama kepada golongan kecil itu untuk kembali bangkit dan mempertahankan negara masing-masing pada masa hadapan, seterusnya membangunkan kembali negara tercinta.

Atas keprihatinan besar terhadap kebajikan anak-anak yatim, Darul Hikmah Divine Collage Sdn. Bhd. (DHDC) bertekad membangunkan sebuah kompleks anak-anak yatim antarabangsa yang sempurna dan lengkap di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jefri Razali berkata, hasrat pembinaan kompleks tersebut bakal dinamakan sebagai Darul Hikmah Mukmin Village and Resort yang terletak di Daerah Mualim, Perak Darul Ridzuan.

Dia yang juga Timbalan Presiden DHDC berkata, tujuan pembinaan kompleks bersepadu itu dilihat mampu menjadi tempat pelindungan terbaik buat anak yatim yang berhadapan masalah di negara asal mereka, selain dalam masa sama turut menempatkan golongan warga tua berminat mendalami ilmu tauhid dan mencari reda Allah SWT.

Menurutnya, tiga komponen utama yang diterapkan di kompleks khas itu adalah penempatan anak-anak yatim antarabangsa, pusat penjagaan orang tua dan pusat pembelajaran atau kolej bagi ilmu syariah, akidah serta ilmu Islam konvensional.

“Konsep kompleks bakal dibina ini adalah bersifat perkampungan tradisional dan menerapkan elemen resort, bagi memberi keselesaan kepada golongan anak-anak yatim dan warga emas yang akan ‘berkampung’ di Darul Hikmah Mukmin Village and Resort ini nanti.

“DHDC mensasarkan untuk mengambil dan menguruskan anak-anak yatim yang berhadapan dengan konflik kemanusiaan dari 25 negara Islam yang bergolak seperti Syria, Iraq, Myanmar, Afghanistan serta Palestin untuk ditempatkan di sini bagi menyambung pengajian dalam ilmu pengajian Islam,” katanya ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pegawai Komunikasi Korporat DHDC, Mohamad Azrul Abd. Aziz.


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini