KUALA LUMPUR 12 Mac – Universiti Malaya (UM) menandatangani satu Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) bagi memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam bidang penyelidikan bertaraf dunia.
Majlis pertukaran MoA berkenaan diadakan di Kompleks Inkubator Inovasi Universiti Malaya di sini semalam.
Pada program yang sama turut diadakan majlis tandatangan dan pertukaran MoU dan MoA serta majlis pra-perasmian pilot plant, iaitu dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Unigeneration Sdn. Bhd., Greatlav Sdn. Bhd. dan majlis perasmian Nanocat-Hartalega Pilot Plant Iron Oxide.
Menurut Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UM, Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, melalui perjanjian MoA itu, UM bersama dengan MIT akan mengkaji bakteria mikrobiota usus penduduk pedalaman Orang Asli di Malaysia yang belum terdedah dengan cara pemakanan kehidupan moden.
“Kita mendapati Orang Asli tidak makan makanan seperti junk food dan fast food seperti kebanyakan masyarakat moden di bandar. Seperti yang kita maklum, makanan Orang Asli dekat dengan sumber alam yang lebih segar dan tidak menggunakan bahan masakan yang terdedah kepada bahan kimia yang beracun.
“Bakteria semulajadi dan antibiotik yang akan dikenalpasti daripada kajian ini sangat penting untuk para penyelidik memahami fungsi bakteria semulajadi dalam usus Orang Asli.
“Secara langsung dan tidak langsung kajian ini amat berguna bagi kelangsungan (survival) manusia moden pada masa akan datang,” jelas Prof. Ir. Dr. Fatimah.
“Harapan saya dengan adanya perjanjian MoA ini, kita dapat memberikan pendedahan kepada orang ramai tentang kejayaan Universiti Malaya dapat berkolaborasi dengan MIT melalui penyelidikan bertaraf dunia.
“Hasil kajian ini nanti akan diarkibkan di “Database of Genotypes and Phenotypes (dbGaP)” yang diselia oleh National Center for Biotechnology Information (NCBI), National Institute of Health dan semua golongan dapat memanfaatkan kajian ini. Ia dapat membantu penyelidikan dalam bidang perubatan bertaraf dunia,” jelas Dr. Fatimah.
Di majlis yang sama, UM turut menandatangani perjanjian lesen teknologi dengan syarikat Greatlav Sdn. Bhd. yang melesenkan produk inovasi alat audit solat. Alat ini digunakan untuk mengukur kualiti pergerakan solat.
Peranti audit solat itu mengambil kira komposisi badan melalui telefon pintar. Selepas solat, data dari telefon pintar dapat mengenalpasti kualiti pergerakan solat seseorang itu di mana selepas solat, pergerakan solat diukur semula untuk mendapatkan keputusan sama ada solat seseorang itu cemerlang, sederhana atau kurang memuaskan.
Produk berkenaan akan berada di pasaran pada pertengahan tahun ini. Ia sangat membantu umat Islam bagi mengenalpasti kekurangan pergerakan fizikal sepanjang menyempurnakan ibadah solat dengan betul.
Kedua-dua peranti “Modular Bed Alarm” dan peranti audit solat SMARTMF telah dibangunkan di Centre for Innovation in Medical Engineering (CIME).
Memorandum Perjanjian Persefahaman antara UM dengan JPPH merupakan kolaborasi pertama antara kedua-dua pihak dan ia bertujuan untuk menentukan arah dan tujuan penilaian harta intelek sebagai instrumen cagaran dalam kewangan untuk tujuan pembiayaan atau pengkomersilan.
Usahasama ini merupakan projek perintis ke atas penilaian harta intelek dan kajian kes tersebut boleh dijadikan contoh dan rujukan antara institut tempatan.
Usahasama ini adalah hasil daripada perbincangan daripada mesyuarat tiga hala antara Universiti Malaya (UM) di bawah inisiatif Prof. Dr. Rofina Yasmin, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang telah berlangsung pada 2017 di ibu pejabat MyIPO, Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE











