KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mendakwa seorang lelaki yang dipercayai mengamalkan ritual aneh, dan membuat kenyataan bercanggah dengan ajaran Islam di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT Nik Zulhaiza Ismail berkata, pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 6(b) di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Katanya, suspek berusia 34 tahun yang mendakwa dirinya sebagai ‘Raja Muda’ yang dilantik kerajaan jin itu telah ditahan polis Dungun pada 4.15 petang Ahad (10 Mac) selepas menerima aduan daripada orang ramai.
“Bagaimanapun lelaki itu telah dilepaskan dengan jaminan Ketua Pegawai Penguatkuasa JHEAT semalam, sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 23 dan selepas diambil semua keterangan yang diperlukan.
“Kes ini akan disebut pada 28 Julai di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bernama difahamkan kehadiran suspek sejak enam bulan lalu di sebuah surau awam di Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun telah menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana dia melakukan aktiviti mencurigakan dengan meletakkan dua batu nesan, sebatang kayu mimbar dan sekaki payung yang didakwa sebagai tempat pertabalannya. – Bernama











