KUALA LUMPUR 12 Mac – Seorang penyokong kerajaan menegur segelintir anggota Kabinet semasa supaya mengambil pendekatan yang lebih masuk akal, mudah dan praktikal supaya tidak disamakan dengan kerajaan terdahulu.
Tanpa menyebut nama-nama menteri terlibat, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir (PH-Johor Bahru) hanya memberi contoh ‘ tak perlu bercakap mengenai idea-idea terlalu besar’ sebaliknya carilah jalan meringkaskan urusan rakyat di sebalik kekangan kewangan kerajaan.
Isu pembinaan kereta terbang dan penanaman pokok buluh sebagai alternatif kepada sawit antara yang menjadi perhatian meluas rakyat ketika ini.
“Yang saya risaukan, yang saya tak mahu apabila rakyat menyamakan kita dengan BN dahulu. Kenyataan yang kita bagi biarlah mencerminkan keadaan di luar sana,” katanya pada sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Pemimpin muda PKR itu yang diberi penghormatan sebagai pencadang usul perbahasan titah ucapan diraja turut memberi perhatian kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya lebih peka dengan kesusahan peminjam.
“Memang kita terbeban dengan peninggalan hutang negara yang lepas tapi jangan desak anak muda tingkatkan potongan gaji untuk langsai hutang PTPTN. Kena duduk berbincang.
“Kalau kerajaan berjaya dapat Bon Samurai untuk kurangkan faedah, mengapa tidak dapat pakej sebegini untuk anak muda melanjutkan pelajaran, sepatutnya PH dilihat jauh lebih ke depan kerana di sebelah sini ramai anak muda,” katanya.
Dalam gaya ucapan dan intonasi suara yang mirip mentornya, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, Akmal Nasir memberi contoh bagaimana Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berjaya mengambil langkah memudahkan rakyat.
Antara yang dipuji beliau, inisiatif menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam selain usaha mengawal harga barang termasuk menurunkan harga siling petrol RON95 dan diesel kepada RM2.08 seliter. – UTUSAN ONLINE











