Yayasan Bank Rakyat tawar biasiswa kepada 15 pelajar terpilih - Utusan Malaysia

Yayasan Bank Rakyat tawar biasiswa kepada 15 pelajar terpilih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Mac – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menawarkan Biasiswa YBR bernilai RM2.25 juta kepada 15 pelajar terpilih bagi melanjutkan pengajian semester pertama secara sepenuh masa pada tahun ini dalam bidang data sains, kejuruteraan dan pengurusan.


Pengerusinya Datuk Noripah Kamso berkata biasiswa itu adalah antara komitmen yayasan dalam pendidikan bagi membantu membiayai pengajian pelajar cemerlang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.


Noripah berkata, selain itu, YBR akan meneruskan tradisi menawarkan bantuan kewangan kepada pelajar peringkat asasi, matrikulasi, diploma dan sarjana muda bagi tahun 2019 di institusi pengajian tinggi awam serta swasta di dalam dan luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…


”Sejak 2007, YBR memperuntukkan sebanyak RM131.5 juta bagi menaja 4,904 pelajar dengan 2,839 daripadanya sudah menamatkan pengajian.


”Terkini, kita tawarkan Biasiswa YBR di mana ia turut ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Biasiswa Yayasan Bank Rakyat di sini, hari ini.


”Pelajar terpilih ini yang memperoleh CGPA cemerlang akan ditawarkan biasiswa penuh dan selebihnya, akan ditawarkan pembiayaan pendidikan boleh ubah (PPBU),” katanya. PPBU merupakan satu bentuk pinjaman pendidikan.


Mengulas lanjut, katanya, 15 pelajar terbaik dipilih dari seluruh negara bagi Biasiswa YBR selepas melepasi tiga peringkat tapisan iaitu tapisan peringkat talian, temu duga dan kem khas yang diadakan oleh pihak yayasan.


”Bagi mereka yang berminat, permohonan boleh dilakukan melalui aplikasi MyYBR atau laman sesawang yayasan sebelum 28 Mac ini,” katanya.


Sementara itu, Noripah menjelaskan YBR memperuntukkan sebanyak 70 peratus daripada dana yang diterima daripada Bank Rakyat serta anggota untuk Pembiayaan Pendidikan serta insentif biasiswa kepada pelajar yang cemerlang dan 20 peratus untuk program pembangunan mampan manakala selebihnya adalah bagi operasi dan pelaburan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini