KUALA LUMPUR 12 Mac- Tiga daripada tujuh individu yang memberi ucapan semasa himpunan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Dataran Merdeka di sini, Sabtu lalu akan dipanggil polis dalam masa terdekat ini bagi memberi keterangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Rudy Abdullah berkata, setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti tujuh individu yang memberi ucapan semasa himpunan itu berlangsung.
“Bagaimanapun, setakat ini kita dapat mengesan dua wanita serta seorang lelaki dan mereka dijangka hadir dalam masa terdekat ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 41 Akta Hasutan 1948.” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
9 Mac lalu, kira-kira 1,000 orang menyertai himpunan tersebut bersempena Hari Wanita Antarabangsa di hadapan Kompleks Beli-belah Sogo di sini.
Himpunan yang bermula kira-kira pukul 9 pagi hingga pukul 12 tengah hari itu dikatakan berlangsung tanpa mendapat sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa. Difahamkan selain pelbagai pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan hak wanita, aktivis, orang awam serta pelajar termasuk penyokong golongan LGBT yang membawa bendera warna pelangi yang menjadi lambang kepada golongan itu.- UTUSAN ONLINE











