MOSCOW 12 Mac – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dijumpai bersendirian dalam keadaan dehidrasi di sebuah pangsapuri yang kotor dipenuhi sampah dan lipas.
BBC melaporkan, pasukan penyelamat memberitahu budak perempuan tersebut tidak dapat bercakap dan takut kepada air,
Tiada sesiapa di rumah ketika dia dijumpai, bekalan elektrik dan air telah dipotong kerana bil tidak dibayar.
Kanak-kanak yang separuh bogel yang dipanggil Lyubov atau cinta itu telah mengalami dehidrasi dan jatuh sakit selepas ibunya tidak pulang selama beberapa hari.
Pihak polis terpaksa menggunakan pakaian perlindungan kimia untuk masuk ke rumah tersebut kerana keadaannya yang busuk dan bersepah.
Ombudsman (pegawai untuk menyiasat aduan orang ramai terhadap salah laku yang dilakukan kerajaan) hak kanak-kanak, Anna Kuznetsova berkata, dia akan bau dahulu makanan yang diberikan sebelum mengambilnya,
“Dia tidak diajar untuk tidur di atas katil, jadi sukar kami untuk menidurkannya. Dia juga takut air, tidak bercakap dan hanya membuat bunyi,” katanya.
Menurut jirannya, ibu kanak-kanak tersebut membawa pulang bayi kira-kira lima tahun lalu sebelum memberitahu anaknya telah tinggal bersama dengan neneknya.
Selepas polis menyelamatkan kanak-kanak tersebut, ibunya telah pulang dan dihalang daripada melarikan diri oleh jiran-jirannya sebelum ditahan kerana atas tuduhan cubaan membunuh.
Suami wanita tersebut dilaporkan telah dihantar pulang ke Ukraine. -AGENSI











