JERANTUT – Seramai 20 individu yang mewakili parti politik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap tindakan pemilik akaun Facebook, Lily Nethalee yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Karikatur menghina Nabi Muhammad SAW yang tular sejak beberapa hari lalu merupakan perbuatan yang sangat biadab dan mengguris hati orang Islam di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud berkata, karikatur yang dimuat naik oleh Lily Nethalee secara jelas menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
“Senario menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini sehingga ada yang berani memuat naik status bergambar.
“Kami sedih melihat karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW tular di laman sosial dan gejala ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut yang turut dihadiri oleh Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Sa’ad dan Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) cawangan negeri Pahang, Datuk Azli Ismail.
Laporan polis berkenaan dibuat oleh wakil Pekida Daerah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Persatuan Warga Emas Jerantut, Pemuda Pas Jerantut, DPIM Pahang dan Persatuan Masjid serta Surau Jerantut.
Menurut Zuridan, pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas dalam usaha menangani gejala tersebut.
“Perbuatan ini jelas bercanggah dengan semangat perpaduan antara kaum yang diamalkan selama ini,” ujarnya.
Sementara itu, Azli Ismail memberitahu, beberapa tangkapan yang dibuat terhadap individu yang menghina Nabi Muhammad SAW sebelum ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada orang lain.
“Pelbagai bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam tersebar melalui media sosial dan situasi ini perlu dicegah malah dihentikan dengan segera agar tidak menggugat keharmonian masyarakat,” jelasnya. – K! ONLINE











