IPOH – Kawasan hutan bukit seluas 120 hektar di Gunung Laba berhampiran Kampung Air Ganda, Gerik, kira-kira 140 kilometer dari sini yang terbakar lebih 100 jam akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, kebakaran yang melibatkan Bukit Gua Tedung berketinggian 314 meter dan Bukit Laba berketinggian 214 meter, padam sepenuhnya kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Hujan lebat malam tadi menyebabkan bara api serta api yang merebak telah padam. Kebakaran yang berlaku pada Khamis lepas (7 Mac) agak lama untuk padam berikutan cuaca panas dan menyebabkan api merebak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman kebakaran selama enam hari itu membabitkan 61 anggota dari seluruh Balai Bomba Zon 2 iaitu Taiping, Kerian, Selama dan Hulu Perak serta 22 anggota daripada Jabatan Perhutanan Daerah Hulu Perak.
“Sepanjang operasi pihak bomba menggunakan helikopter daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk melakukan pemantauan kebakaran manakala Jabatan Perhutanan menggunakan dron untuk pemantauan,” katanya.
Katanya, kebakaran itu berdekatan dengan perkampungan Orang Asli di Kampung Sungai Papan iaitu jarak dari kebakaran kira-kira 1.5 kilometer, bagaimanapun kebakaran berjaya dikawal dan tidak melibatkan sebarang perpindahan penduduk di kampung berkenaan. – Bernama











