ALOR GAJAH – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangi merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu, mangsa, Muhammad Dzulhani Nasir, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC telah melanggar belakang kanan lori terbabit yang ingin berhenti di lorong kecemasan.
“Berdasarkan maklumat awal daripada pemandu lori berusia 45 tahun itu, dia mendakwa telah memberikan lampu isyarat untuk berhenti di lorong kecemasan kerana ingin membuang air kecil.
“Mangsa bagaimana tiba-tiba telah merempuh bahagian belakang kanan lori tersebut dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Panchor, Muar ke tempat kerja di sebuah restoran makanan segera di Kuala Lumpur.
Hasan berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











