Tiga sahabat didakwa samun bersenjata pasangan warga emas - Utusan Malaysia

Tiga sahabat didakwa samun bersenjata pasangan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkawan bersenjata parang terhadap pasangan warga emas pada Januari lalu.

Tertuduh, Mohd. Shahirullnizam Mohd. Shariff, 24,: Mohamad Abdullah Mohamed Noah, 30, dan Sopian Othman, 34, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan samun berkawan bersenjatakan parang ke atas pasangan suami isteri, Goh Kim Lee, 77, dan Lim Lay Hong, 70, dengan merampas sebuah dompet serta beg tangan berisi barangan peribadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.30 pagi di Jalan Melaka Raya 12, Taman Melaka Raya pada 6 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos mencadangkan jaminan sebanyak RM20, 000 dan memohon syarat tambahan diberikan terhadap tertuduh.

Mohd. Shahirullnizam yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dapat diberikan manakala Mohamad Abdullah serta Sopian memberi alasan perlu menanggung keluarga masing-masing termasuk ibu mereka. 

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15, 000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan memerintahkan tidak mengganggu saksi pendakwaan atau jaminan ditarik balik serta merta. 

Beliau turut memerintahkan kesemua tertuduh untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan menetapkan 11 April depan sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini