DOHA – Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso memulakan kempen Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini dengan langkah kanan apabila menjuarai perlumbaan pertama Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail awal pagi semalam.
Dovizioso, 32, mengulangi pencapaiannya pada GP Qatar tahun lalu apabila sekali lagi berjaya mengetepikan seteru utamanya dari pasukan Repsol Honda, Marc Marguez.
Pelumba dari Itali itu melepasi garisan penamat dengan masa 0.023 saat (s) lebih pantas daripada Marquez yang terpaksa berpuas hati pada tempat kedua diikuti pemenang tempat ketiga, Cal Crutchlow dari pasukan LCR Honda.
Dovizioso langsung tidak menjangka berjaya memenangi perlumbaan itu selepas terpaksa bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jenteranya menyaksikan dia berada pada kedudukan ke-14 keseluruhan sewaktu sesi ujian pramusim di Qatar hujung bulan lalu.
“Saya mencuba sedaya upaya pada pusingan terakhir selepas melihat Marquez bergelut dengan tayar belakangnya. Saya mengambil kesempatan itu walaupun sukar kerana Marquez tetap tidak mengalah.
“Saya sangat gembira kerana semua yang berlaku sebelum hujung minggu ini sangat teruk,” katanya.
Sementara itu, Marquez, 26, menerima kekalahan tersebut kerana sudah memberikan tunggangan terbaiknya untuk memintas Dovizioso sebelum melepasi garisan penamat.
“Saya terpaksa bergelut dengan keadaan tayar sepanjang perlumbaan memandangkan jentera saya tidak sesuai berlumba di sini. Apa pun saya gembira kerana berjaya menamatkan perlumbaan dan memungut 20 mata,” jelasnya.
Perlumbaan kedua MotoGP 2019 dijadualkan berlangsung pada GP Argentina di Litar Termas de Rio Hondo pada 31 Mac ini. – Agensi










