ISKANDAR PUTERI 11 Mac – Sebuah suruhanjaya khas akan ditubuhkan bagi mengatasi kegiatan orang tengah atau ejen yang mengutip wang daripada pemohon Sistem Perumahan Mampu Biaya Johor (SP2MJ) bagi membantu kelulusan permohonan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan membawa cadangan berhubung perkara berkenaan pada mesyuarat Exco yang akan datang.
Menurutnya, cadangan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan bertujuan membantu mengelakkan golongan berpendapatan rendah atau B40 diperdaya golongan tidak bertanggungjawab.
“Kita sudah ada cadangan dan kalau isu ini masih lagi berlarutan, malah kita sudah banyak kali bagi amaran sekali gus kita tidak tolak kemungkinan akan menubuhkan sebuah task force untuk atasi isu ini.
“Perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Exco dan kita akan umumkan selepas perayaan Tahun Baharu Cina ini,” katanya kepada pemberita dalam majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) Pembangunan Denai Nusantara yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian di sini, baru-baru ini.
Dzulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai individu mendakwa ejen bahagian perumahan kerajaan negeri dan mengutip sebanyak RM5,000 daripada pemohon SP2MJ bertujuan membantu kelulusan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya membuat permohonan dan berurusan dengan saluran yang betul dan yang ditetapkan kerana kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi permohonan tersebut.
Tambahnya, semua permohonan SP2MJ perlu dilakukan melalui portal erumah.johor.gov.my dan proses saringan dibuat terhadap pembeli yang layak melalui projek ditawarkan.
“Sekiranya ada dalam kalangan mereka yang tidak mahir atau tidak tahu membuat permohonan melalui laman web, mereka boleh terus pergi ke kaunter,” katanya.










