Pemimpin Sabah hargai titah Agong saran kerajaan tumpu pembangunan di Sabah - Utusan Malaysia

Pemimpin Sabah hargai titah Agong saran kerajaan tumpu pembangunan di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Pemimpin Sabah menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyarankan kerajaan pusat menumpukan pembangunan di negeri itu secara inklusif iaitu dari segi ekonomi, infrastruktur serta pembentukan modal insan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peringatan tersebut perlu dilaksanakan agar jurang pembangunan di bandar dan luar bandar yang wujud sekarang dapat diatasi.

“Alhamdulillah titah tuanku memperingatkan kerajaan supaya keseimbangan dari segi pembangunan dapat dilaksanakan bukan sahaja di bandar tetapi juga luar bandar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Titah tuanku ini berhubung kait kepada suara rakyat yang mahukan pembangunan di Sabah ditingkatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berada di Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-14 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong.

Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 yang bermula hari ini, baginda bertitah mengingatkan kerajaan supaya meningkatkan kesejahteraan rakyat di luar bandar termasuk orang asal Sabah, Sarawak dan Orang Asli.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking berkata, titah baginda menjelaskan sudah tiba masa untuk tumpuan pembangunan negara difokuskan ke Sabah dengan menarik kemasukan pelaburan baharu bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada negeri itu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Penampang berkata, kerajaan yang ada sekarang perlu fokus kepada Sabah dan berdasarkan kemajuan infrastruktur dititahkan baginda, maka Jabatan Kerja Raya perlu membaik pulih atau membina jalan baharu.

Darrel berkata, dalam usaha kerajaan membangunkan Sabah, jawatankuasa Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) adalah antara yang perlu diperkasakan agar memberi manfaat ekonomi kepada Sabah dalam perdagangan bersama tiga negara jiran itu.

Menurut beliau, BIMP-EAGA adalah antara topik yang menarik perhatian dalam pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte minggu lalu kerana manfaatnya bukan sahaja pembangunan ekonomi tetapi menyelesaikan masalah kemasukan imigran di Sabah. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini