KUALA LUMPUR 11 Mac – Suspek wanita warga tempatan berusia 20 tahun yang ditahan selepas membuang bayi lelaki di dalam mangkuk tandas di Hospital Selayang, dekat sini semalam masih dirawat dan belum direman.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya akan menunggu wanita tersebut pulih sebelum ditahan reman.
“Kita difahamkan suspek yang baru saja melahirkan bayi lelaki berkenaan telah di masukkan ke hospital terbabit untuk rawatan lanjut dan keadaan bayi itu juga dilaporkan stabil. “Kita akan menahan reman suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, seorang wanita warga tempatan ditahan polis selepas disyaki membuang bayi lelaki di dalam mangkuk tandas di Hospital Selayang.
Tindakan mangsa itu disedari seorang pekerja kilang yang berada di dalam tandas berkenaan.
Pekerja kilang itu kemudian bertindak meminta pertolongan pengawal keselamatan yang berada di luar tandas untuk menyelamatkan bayi tersebut. -UTUSAN ONLINE











