TAWAU 11 Mac – Orang awam disaran mengunjungi portal SemakMule bagi menyemak akaun bank melibatkan urus niaga dalam talian bagi mengelak ditipu dan sebelum melakukan transaksi pembayaran.
Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, SemakMule itu merekodkan lebih 92,000 akaun bank yang didakwa pernah melakukan kegiatan jenayah menipu.
“Kesemua akaun ini wujud dan pernah terlibat jenayah komersial berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa,” katanya ketika taklimat kesedaran pencegahan jenayah siber dan anti pemerdagangan orang peringkat Sabah, di sini hari ini.
Menurut Victor, portal SemakMule itu berfungsi untuk membantu mengurangkan kes penipuan wang ringgit terutamanya membabitkan urus niaga dalam talian.
“Pengunjung portal SemakMule (pautan http://ccid.rmp/gov.my/semakmule) hanya perlu memasukkan nombor akaun bank, memilih kategori (akaun bank atau nombor telefon), serta mengisi maklumat Captcha sebelum menekan butang semakan.
“Jika ada penipuan menggunakan akaun itu, ia akan dipaparkan di ruang carian,” jelasnya.
Tambahnya, statistik jenayah siber bagi lima kategori iaitu telecomunication fraud, romance scam, e-financial fraud, e-commerce fraud, network abuse serta intelectual propery pada tahun lepas merekodkan jumlah keseluruhan kerugian RM372,948,345.46 membabitkan 10,004 kes. – BERNAMA











