PUTRAJAYA 11 Mac – “Saya masih berminat jadi anggota polis sebab polis memang cita-cita saya.”
Demikian luahan Koperal Jusninawati Abdul Gani ketika ditanya sama ada dia masih berminat dengan kerjaya sebagai anggota keselamatan itu.
Mahkamah Persekutuan hari ini membebas dan melepaskannya daripada hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hampir tiga tahun lalu atas dakwaan menyembunyikan maklumat aktiviti berkaitan keganasan daripada pihak berkuasa.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Yang Arif Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin sebulat suara membenarkan rayuan polis wanita itu untuk mengenepikan sabitan dan hukuman ke atasnya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Disember 2016, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas polis wanita itu dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan di sini.
Ibu kepada dua orang anak perempuan berusia 10 dan 11 tahun itu menzahirkan ucapan syukur kehadrat Allah sebaik sahaja jurubahasa mahkamah menerangkan keputusan mahkamah tersebut.
“Alhamdulillah,” katanya sambil menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan.
Ditanya kehidupannya selepas ini, Jusninawati berkata: “Kehidupan selepas ini biasa. Sekiranya ditakdirnya untuk saya bekerja semula, insyaAllah saya akan berkhidmat dengan sebaik mungkin. Sekiranya Allah beri rezeki haluan itu (sebagai anggota polis), insyaAllah saya akan jaga dengan baik.” – UTUSAN ONLINE











