PULAU PINANG 11 Mac – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyifatkan tindakan merobohkan rumah penduduk di tanah wakaf Abdul Cauder, Butterworth, di sini minggu lalu adalah jalan terakhir yang perlu dan terpaksa diambil.
Ini kerana, menurut Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, pihaknya sudah melalui pelbagai proses perbincangan dengan penduduk dan menerusi saluran undang-undang bagi mengosongkan tanah wakaf itu sejak 2008 lagi.
Katanya, tindakan perobohan yang diambil minggu lalu sehingga mencetuskan kekecohan juga dibuat berdasarkan perintah mahkamah, malah penduduk juga sudah diberi ruang dan peluang untuk mengosongkan kediaman masing-masing sebelum tindakan diambil.
“Jadi tindakan lebih berperikemanusiaan bagaimana lagi yang boleh kita ambil?
“Kita sudah beri tawaran kepada penduduk terlibat untuk berpindah dan tawaran kami itu (di Pulau Pinang) sebenarnya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain (bagi kes serupa),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kekecewaan pelbagai pihak dengan tindakan MAINPP merobohkan rumah penduduk tanah wakaf itu menggunakan jentolak yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan zalim.
Malah, kerja-kerja perobohan itu minggu lalu juga mencetuskan kekecohan sehingga beberapa penduduk ditahan selain anggota polis cedera ketika cuba menyuraikan penduduk yang merusuh.
Awal pagi ini, sebuah lagi rumah penduduk diberikan notis pengosongan sehingga 25 Mac ini sebelum kerja-kerja perobohan diambil selepas tarikh tersebut.
Pemilik rumah itu merupakan antara 14 buah keluarga yang enggan berpindah daripada 46 buah rumah yang diberikan tawaran pengosongan secara rasmi pada September 2010.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perhatian dan keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu tersebut, Abdul Malik berkata, pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas selepas Setiausaha Politik kepada PM, Abu Bakar Yahya turun padang meninjau masalah tersebut.
Bagaimanapun, tambah beliau, pihaknya sentiasa berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta menteri-menteri berkaitan bagi memaklumkan perkembangan berhubung isu tersebut. – UTUSAN ONLINE











