KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd. memiliki pelan perniagaan semasa yang kukuh dan mantap di bawah kerajaan baharu bagi prestasi jangka panjang.
Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Nazri Khan Adam Khan berkata, walaupun mencatat kerugian bagi tahun kewangan 2018, perancangan masa depan Khazanah berteraskan hala tuju yang tepat dan meyakinkan untuk membolehkan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu kembali meraih keuntungan.
Namun, tegas beliau, usaha tersebut perlu membabitkan langkah pengasingan aset Khazanah kepada aset komersial dan strategik selain menjual aset bukan strategik.
“Khazanah bukanlah satu-satunya dana kerajaan yang mengalami kerugian (pada 2018), malah dana pencen kerajaan Norway yang besar turut mengalami nasib sama apabila kerugian kira-kira AS$57 bilion (RM233 bilion).
“Bagi saya, punca utama kerugian Khazanah adalah turun naik pasaran ekuiti yang ketara di semua papan dagangan, khususnya akibat pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Malah, Bursa Malaysia juga terus diniagakan dalam prestasi mendatar pada masa ini,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Khazanah mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.90 bilion tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, keutamaan Khazanah pada masa ini adalah menyokong inisiatif ekonomi kerajaan.
Ini termasuk memberi lebih banyak tunai kepada kerajaan menerusi langkah penjualan atau mengurangkan lebihan ekuiti dalam syarikat berkaitan kerajaan.
“Apa yang penting adalah tadbir urus yang positif, ketelusan dan amalan pelaburan berhemat selain memastikan bahawa Khazanah bebas daripada campur tangan politik.
“Saya rasa Datuk Shahril Ridza Ridzuan (Pengarah Urusan Khazanah) yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mahir untuk menguruskan Khazanah sebagai pelabur institusi yang aktif,” katanya.











