Sebanyak enam kes kematian membabitkan demam denggi dicatat di negeri ini sejak Januari hingga 2 Mac lalu iaitu peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, tahun lalu, sebanyak tiga kes kematian dicatatkan dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, Johor Bahru kekal sebagai daerah yang mencatatkan kes denggi tertinggi di negeri ini.
“Jabatan Kesihatan negeri merekodkan 2,222 kes demam denggi dilaporkan sejak Januari hingga 2 Mac tahun ini, peningkatan sebanyak 99.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Dalam tempoh itu juga, enam kematian akibat demam denggi dicatat pada tahun ini, meningkat 100 peratus berbanding tiga kematian dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Negeri Johor 2019 di Taman Kota Masai di sini, kelmarin.
Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahudeen Abd. Aziz dan Pengerusi Persatuan Kawasan Rukun Tetangga Taman Kota Masai, Khalid Endut.
Tambah Dr. Sahruddin, usaha membasmi demam denggi dan menghapuskan nyamuk aedes merupakan usaha kolektif yang perlu dipikul semua pihak termasuk masyarakat awam, bukan sahaja kerajaan.
“Masyarakat perlu peka dengan persekitaran mereka, khususnya kawasan kediaman masing-masing, tempat kerja, kenderaan dan sebagainya.
“Jika semua pihak memainkan peranan dengan membantu menjaga kebersihan setempat, kita pastinya dapat menghapuskan pembiakan nyamuk aedes,” ujarnya.











