KUALA LUMPUR 10 Mac – Caj pencemaran sebanyak 20 sen kepada setiap beg plastik yang bakal dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 15 Mac ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga kota.
Pengerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam Fasa 2, Hisham Ghazali berkata, pendekatan yang diambil dilihat menambahkan lagi beban rakyat.
“Saya tidak bersetuju dengan pelaksanaan itu. Kenapa perlu tambah lagi caj sedangkan sudah banyak cukai yang perlu dibayar oleh rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini bagi mengulas mengenai pelaksanaan caj pencemaran 20 sen kepada setiap beg plastik di seluruh Wilayah Persekutuan bermula 15 Mac ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dalam kenyataan akhbarnya hari ini memaklumkan pendekatan itu bertujuan
memberi kesedaran dan perubahan minda kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan warga Wilayah Persekutuan khususnya mengenai keperluan perbelanjaan kerajaan untuk membersihkan pencemaran sisa plastik.
Bagi Pengerusi PPR Taman Mulia, Mohd. Feisal Abdul Manaf pula berpandangan, pelaksanaannya sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar.
“Jika kita rasa caj dikenakan membebankan, mengapa tidak membawa beg sendiri ketika membeli-belah,” katanya.
Sementara itu surirumah, Zainab Tahir, memuji pendekatan yang diambil sebagai langkah mendisiplinkan masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.- UTUSAN ONLINE











