Sungai Kim Kim masih tercemar - Utusan Malaysia

Sungai Kim Kim masih tercemar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 10 Mac – Penduduk Kampung Bukit Pulai, Pasir Putih di sini mendakwa pencemaran di Sungai Kim Kim masih belum pulih sepenuhnya walaupun pembersihan sudah dilakukan.

Menurut mereka, keadaan tersebut masih merisaukan kerana melibatkan kesihatan apatah lagi kedudukan rumah mereka berhampiran Sungai Kim Kim yang tercemar itu.

Zulkifly Kassim, 50, berkata, kerja-kerja pembersihan dijalankan dilokasi pembuangan sisa kimia masih belum mencukupi memandangkan keadaan air yang sentiasa mengalir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kawasan sungai yang dilihat masih tercemar teruk itu sukar dilalui kerana kedudukannya jauh ke dalam termasuk pihak berkuasa kerana perlu menggunakan laluan air.

“Jarak kawasan itu tercemar adalah kira-kira 500 meter hingga satu kilometer (km) dari lokasi pembuangan sisa bahan kimia di bawah jambatan yang menghubungkan Taman Pasir Putih dan Taman Kota Masai.

“Pada mulanya saya terpanggil meninjau kawasan sungai yang lebih ke dalam kerana saya bimbang esok anak saya dan anak-anak penduduk lain akan mula sekolah, takut ada yang pengsan dan perkara buruk berlaku.

“Kawasan sungai yang ke dalam itu tidak boleh dilalui kalau jalan kaki, kalau nak ambil gambar guna dron tidak nampak kerana ada bakau selain bahaya keana ular juga besar-besar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selepas mengambil keputusan meninjau menggunakan bot, dia kemudiannya mendapati terdapat banyak tompokan minyak di kawasan tersebut yang mana keadaannya hanya tersekat di satu kawasan dan tidak mengalir ke laut.

“Tidak mustahil, minyak akan berkumpul dan banyak gas yang mungkin beracun terhasil. Kalau mereka dapat lihat, ikan kecil dan besar, hidupan sungai lain, banyak yang mati,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nur Satria Rabu, 33, berharap keadaan sungai yang tercemar itu dapat dipulih segera memandangkan penduduk kampung memerlukan udara dan air sungai yang bersih.

Dia yang juga bekerja sebagai nelayan di kawasan itu berkata, sumber rezekinya juga banyak terjejas sejak beberapa tahun ini memandangkan keadaan sungai yang tercemar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini