KUALA LUMPUR 10 Mac – Pihak berkuasa wajib bertindak dengan tidak membenarkan sebarang penganjuran, perarakan atau perhimpunan berkaitan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang lebih dikenali sebagai Pak Wan menegaskan, musuh paling besar mengancam umat Islam di Malaysia adalah hak asasi manusia yang tidak mengenal batas hukum dan perangai luar tabii.
“Ini wajib diperangi dengan memberi pengajaran yang betul.
“Bayangkan atas dasar `human rights’, isteri melakukan hubungan luar nikah, lelaki bercinta dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, anak-anak dengan ibu bapa dan sebagainya.
“Bersatu sendiri menolak gaya hidup LGBT dalam budaya masyarakat negara ini,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Semalam, dalam satu perarakan Women’s March yang diadakan di ibu negara, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti ‘Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.
Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut kelmarin, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut.
Menurut portal Sinar Harian, kira-kira 1,000 orang hadir dalam perhimpunan dan perarakan tersebut yang bermula dari pusat beli-belah Sogo hingga ke Masjid Jamek.
Selain slogan pro-LGBT, peserta turut melaungkan desakan supaya menghentikan perkahwinan kanak-kanak serta menuntut penghapusan diskriminasi jantina, menamatkan keganasan terhadap wanita dan memperkukuh hak wanita. – UTUSAN ONLINE











