JOHOR BAHRU – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada anak tirinya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) pada Julai tahun lalu.
Tertuduh, Zaileen Zainal, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.
Mengikut kertas pertuduhan, Zaileen dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Raja Nurul Syafiqah Raja Hazman Shah, 27, dengan menggunakan tangan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Dedap 26, Taman Johor Jaya, di sini pada pukul 6.34 petang, 14 Julai tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Jalil Salam Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Arwa Abdul Rahman.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 berserta syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa sepanjang proses perbicaraan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan bayaran jaminan memandangkan tertuduh bekerja sebagai kerani pentadbiran dengan pendapatan hanya RM800 sebulan.
“Tertuduh juga mempunyai penyakit darah tinggi selain pernah mengalami mild stroke dan memberi kerjasama dengan hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa sepanjang proses perbicaraan.
Mahkamah menetapkan 2 April sebagai tarikh serahan semula dokumen dan sebutan semula kes. – Bernama











