Helang Merah hanya kalah nasib - Utusan Malaysia

Helang Merah hanya kalah nasib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui anak-anak buahnya tidak bernasib baik selepas gagal mencuri sebarang mata ketika tewas 0-1 kepada Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

Menurut Aidil, apa yang dilakukan oleh skuad Helang Merah itu wajar dipuji selepas mempamerkan aksi cukup mantap di bahagian pertahanan dan serangan, cuma nasib tidak menyebelahi mereka ketika meraih kekalahan pertama dalam saingan liga musim ini.

“Saya akui pasukan kami tidak bernasib baik kerana selepas mempamerkan aksi cemerlang sejak awal permainan, Pahang akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-85, sekali gus menyaksikan kami pulang dengan tangan kosong.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, walaupun tewas, saya tetap memuji komitmen dan karakter yang dipersembahkan oleh semua pemain khususnya barisan pertahanan kami yang berjaya mengekang asakan pasukan tuan rumah.

“Malah, kami juga berjaya menyelamatkan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada mereka. Justeru, saya anggap ini adalah keputusan yang tidak adil, tetapi inilah lumrah bola sepak,” kata Aidil selepas tamat perlawanan kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, kekebalan skuad Helang Merah itu direntap pemain gantian, Muhamad Zuhair Mohd. Nazri yang melakukan rembatan cantik pada minit ke-85 sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh buat Tok Gajah.

Mengulas lanjut, pengendali import kelahiran Singapura itu mahu anak-anak buahnya melupakan kekalahan itu dan fokus dalam memantapkan prestasi mereka biarpun saingan baru sahaja memasuki enam perlawanan.

“Saya tidak mahu pemain kecewa dengan kekalahan ini dan mahu mereka segera bangkit pada perlawanan seterusnya. Ini adalah pengalaman berguna buat pemain, tetapi saya optimis kelemahan yang ada ini boleh diperbaiki,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini