Pembangkang perlu kuat – Pas - Utusan Malaysia

Pembangkang perlu kuat – Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mac – Bukan sahaja UMNO, Pas juga bersedia bekerjasama dengan MCA dan MIC bagi memastikan barisan pembangkang ketika ini kuat dalam berdepan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, jelas Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad, kedua-dua parti tersebut diharapkan tidak bimbang dengan kerjasama di antara Pas dan UMNO kerana ini merupakan antara teras kepada kekuatan pembangkang yang ingin dibina ketika ini.

“MCA dan MIC tidak perlu bimbang dengan kerjasama Pas dan UMNO kerana sebagai parti pembangkang, Pas juga bersedia bekerjasama dengan parti pembangkang lain termasuk MCA dan MIC.

Memuatkan artikel berkaitan…
ISKANDAR ABDUL SAMAD
ISKANDAR ABDUL SAMAD 

“Kerjasama Pas dan UMNO akan menjadi teras kepada kekuatan pembangkang tanpa mengenepikan parti pembangkang yang lain. Di dalam menghadapi kerajaan PH, pembangkang perlu kuat dan tidak berpecah kerana tanpa kerjasama ini, susah bagi pembangkang untuk menjadi pihak semak dan imbang kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, MCA dan MIC berpendapat mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dalam barisan pembangkang termasuk Pas asalkan ia menjurus kepada kepentingan rakyat.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya juga tidak mempunyai masalah dengan kerjasama di antara UMNO dan Pas yang dilihat olehnya lebih kepada kerjasama mengenai bangsa dan agama.

Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran pula berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas dilihat dapat memberi kelebihan besar khususnya kepada parti itu dan BN secara keseluruhan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, Pas pernah menjadi rakan strategik UMNO, MCA dan MIC semasa pembentukan kerajaan campuran Pas dan Perikatan dan diikuti dengan penubuhan Barisan Nasional (BN) malah keempat-empat parti itu juga terlibat dalam usaha untuk memerdekakan negara.

Mohd. Zuhdi yang juga merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas sehubungan itu menjelaskan, keempat-empat parti tersebut juga sudah menghayati semangat kemajmukan jauh lebih awal daripada Pakatan Harapan (PH).

“Bezanya antara Pas-BN berbanding PH, Pas-BN menghayati semangat kemajmukan dalam kerangka asal negara Malaysia sedangkan PH mahu membina kerangka baru yang begitu asing dari akar umbi sejarah pembentukan negara, bahkan melanggar kontrak sosial yang telah dimeterai.

“Berdasarkan latar belakang sejarah hubungan Pas-Perikatan dan sejarah pembentukan BN, saya amat yakin MCA dan MIC berpotensi besar menjadi rakan strategik Pas seperti mana UMNO. Saya melihat MCA dan MIC mewakili kelompok kaum Cina dan India yang berhaluan sederhana dan mengutamakan semangat kemajmukan dan ia juga selari dengan pendekatan Pas,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini