JASIN 9 Mac – Penduduk di sekitar Kampung Chohong di sini bimbang dengan ancaman bahan buangan berbahaya apabila Sungai Chohong dikatakan tercemar sehingga warna airnya berubah kepada hitam serta berbau busuk.
Seorang peniaga, Rosmah Ismail, 52, berkata, keadaan itu menyebabkan orang ramai rasa bimbang selain berdepan bau busuk yang menjejaskan perniagaan warung makannya.

Katanya, walaupun kes pencemaran sungai di kawasan itu bukan perkara baharu tetapi ia tidak seteruk kali ini.
“Saya yang memasak dan berniaga di sini sudah tak tahan hingga tekak rasa loya dan pening kepala macam nak pitam. Bau busuk itu lagi kuat bila angin bertiup,” katanya ketika ditemui pemberita di di sini hari ini.
Pencemaran di sungai itu dikatakan membabitkan jarak sepanjang 11 kilometer dan menyebabkan penduduk di kawasan berdekatan sungai terpaksa menahan bau busuk sepanjang hari.
Air sungai tercemar hingga menjadi kehitam-hitaman itu turut menyebabkan ribuan ikan mati dan terdampar di tebing sungai hingga menambahkan lagi bau busuk sungai tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, punca percemaran itu telah dikenal pasti dari Tangkak, Johor dan bukannya dari Melaka memandangkan ia bersempadan.
“Setakat ini, kita sudah kenal pasti ia berpunca daripada aktiviti penternakan ayam dan pembuangan sampah dari hulu sungai iaitu di Johor.
“Pihak terbabit juga telah diminta mengambil tindakan segera bagi menangani isu berkenaan kerana ia boleh menjejaskan bekalan air kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.











