100 maut, cedera 
setiap minggu di Yemen - Utusan Malaysia

100 maut, cedera 
setiap minggu di Yemen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA 9 Mac – Hampir 100 penduduk awam terbunuh atau cedera setiap minggu di Yemen pada tahun lalu dengan kanak-kanak merupakan antara golongan paling banyak menjadi mangsa.

Al-Jazeera yang memetik data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan bahawa lebih 4,800 kematian serta kecederaan melibatkan penduduk awam direkodkan pada tahun lalu.

Golongan kanak-kanak mencatatkan sebanyak 410 kematian dan 542 kecederaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Data itu juga mendedahkan sebanyak 48 peratus kematian direkodkan di bandar Hodeidah yang menyaksikan banyak pertempuran berlaku antara kumpulan pemberontak Houthi dan pasukan tentera yang disokong Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyokong kerajaan Yemen.

Selain itu, data tersebut me­nunjukkan sebanyak 30 pe­ratus kematian penduduk awam di­sebabkan mereka dibunuh atau dicederakan di dalam rumah masing-masing.

Kematian penduduk awam juga disumbangkan menerusi beberapa insiden serangan kumpulan pemberontak yang berlaku di tepi jalan, ketika bertani di ladang atau lokasi tum­puan ramai.

Penolong Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Volker Turk berkata, laporan itu menggambarkan nyawa manusia menjadi pertaruhan dalam konflik yang berlaku di Yemen.

“Penduduk di negara ini te­rus berdepan dengan risiko ke­selamatan, kebajikan dan hak mereka.

“Kebanyakannya tinggal dalam ketakutan memandang­kan mereka sangat mudah menjadi sasaran serangan, selain terpaksa hidup dalam serba kekurangan termasuk bekalan makanan yang terhad,” katanya.

Sejumlah agensi bantuan dan media se­ring meletakkan angka seba­nyak 10,000 bagi menerangkan jumlah kematian dalam konflik di Yemen.

Namun, angka tersebut digunakan berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ogos 2016.

Dalam pada itu, Projek Lokasi Konflik Bersenjata (ACLED) mendedahkan sekurang-kurangnya 60,223 penduduk awam terbunuh sejak Januari 2016 iaitu sembilan bulan selepas Arab Saudi melancarkan kempen memben­dung Houthi secara besar-besaran.

Bagaimanapun, jumlah tersebut tidak termasuk kematian yang diakibatkan oleh pe­nyakit atau kekurangan nutrisi makanan biarpun pertubuhan bukan kerajaan, Save the Children menganggarkan sebanyak 85,000 kanak-kanak mati kebuluran.

Perang di Yemen sudah berlanjutan selama empat tahun dengan pasukan tentera pakatan gagal menyingkirkan Houthi dari ibu kota negara ini dan beberapa lokasi utama lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini