KUALA LUMPUR 9 Mac – Seramai 137 pelajar tajaan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerima diploma dalam Majlis Konvokesyen ‘Sotsugyo Shiki’ 2019 yang berlangsung di Mara Japan Industrial Institute (MIJI) hari ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 69 pelajar menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal manakala 68 pelajar lagi menerima Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari UniKL.
Lebih manis, kesemua pelajar tersebut yang telah mengikuti pengajian selama tiga tahun di MIJI akan melanjutkan pengajian di 24 buah universiti di Jepun yang terdiri daripada 11 universiti awam dan 13 universiti swasta bermula April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, majlis konvokesyen itu mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan jumlah graduan yang paling ramai berbanding graduan dari tahun-tahun sebelum ini.











