KUALA LUMPUR 9 Mac – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa semua parti politik supaya menghentikan politik perkauman yang dilihat semakin membarah ketika ini.
Presidennya, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, tidak akan ada harapan lagi untuk melihat masyarakat dalam negara bersatu-padu sekiranya kerajaan membiarkan penghinaan agama dan kaum seperti yang berlaku ketika ini.
“Perubahan secara menyeluruh perlu dilakukan sebelum masyarakat dan negara terjerumus kepada kemusnahan perpaduan kekal. Ramai ahli politik mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) lepas.
“Antara isu terkini adalah tindakan sesetengah pihak mahu MCA dan MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN). Perkara ini menunjukkan suasana politik yang telah berubah menjadi sangat perkauman,” katanya seperti dipetik daripada portal Free Malaysia Today di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad menjelaskan BN telah dibentuk menerusi gabungan beberapa parti bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan tiga kaum utama iaitu Melayu, India dan Cina.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama antara UMNO dan Pas adalah untuk memperjuangkan ketuanan Melayu serta perpaduan Melayu Islam yang dilihat seolah-olah terancam ketika ini.
“Hal ini telah mendorong pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyebarkan dasar agenda Melayu. Kita boleh mengelakkan isu perkauman daripada berlaku dengan menubuhkan parti politik yang tidak berasaskan kaum,” katanya.











