ISKANDAR PUTERI 9 Mac – Penyatuan dua parti politik Melayu, UMNO dan Pas boleh disifatkan sebagai satu rahmat pemberian Allah buat rakyat negara ini, khususnya kepada masyarakat Melayu dan agama Islam.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, itu merupakan satu hikmah yang terhasil daripada situasi yang melanda umat Islam di negara ini ketika ini.
Katanya, kerjasama tersebut harus disambut baik semua pihak tanpa mengira kaum kerana manfaat daripadanya tidak hanya melibatkan masyarakat Melayu.
“Pelbagai isu melanda umat Islam negara ini termasuk perpecahan, penghinaan kepada agama Islam dan Nabi Muhammad SAW serta raja-raja Melayu, namun hikmahnya adalah penyatuan antara UMNO dan Pas.
“Kerjasama itu merupakan perkara yang baik dan dituntut dalam Islam iaitu untuk menjaga silaturahim sesama Muslim. Masyarakat perlu menyambut baik kerjasama ini dan tidak lagi mengungkit keburukan dahulu sebaliknya mencari sudut positif daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian berhubung kesepakatan UMNO dan Pas untuk bekerjasama semasa berucap dalam program Ceramah Perdana: Malapetaka Bangsa di Balairaya Kampung Melayu, Ulu Choh, Gelang Patah, di sini malam ini.
Program ceramah perdana yang dihadiri seramai kira-kira 300 orang itu merupakan siri jelajah yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan itu sebagai inisiatif menyatukan masyarakat Melayu di negara ini.
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin dan Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.
Menurut Ibrahim lagi, pihak yang tidak menyokong idea penyatuan itu perlu mendalami ajaran agama kerana silaturahim sesama Islam adalah antara perkara yang dituntut dalam agama.
“Sementara itu, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa kerjasama UMNO dan Pas sebagai pengisytiharan perang kepada bukan Melayu menunjukkan sikap sebenar pemimpin tersebut.
“Masyarakat Cina dan India perlu tahu, perpaduan masyarakat Melayu yang merupakan penduduk majoriti di negara ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi semua rakyat dalam negara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, masyarakat Cina khususnya perlu faham mengapa dakwaan sedemikian dibuat Guan Eng adalah kerana beliau bimbang DAP dan dirinya akan kehilangan kuasa yang dimiliki ketika ini.
“Tindak tanduk Guan Eng itu memberi kesan negatif kepada masyarakat Cina sendiri. Kesannya akan wujud syak wasangka terhadap mereka dan ini akan merosakkan perpaduan antara kaum yang dinikmati selama ini.
“Tiada gunanya negara maju dengan teknologi yang moden sekiranya negara huru hara dan rakyatnya hidup dalam keadaan tidak harmoni,” katanya. – UTUSAN ONLINE











