ARAU 9 Mac – Tindakan mencampur aduk perakan hari wanita dengan agenda
lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kuala Lumpur hari ini amat menjengkelkan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, perjuangan menuntut hak kaum hawa adalah satu perkara yang dihormati dan disokong, namun mencampurkan perkara mulia tersebut dengan agenda LGBT adalah satu provokasi terhadap kestabilan negara.
Katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),
tindakan seperti itu perlu ditolak oleh semua pihak.
“Saya memahami keinginan kepada kebebasan, namun kebebasan itu ada konteksnya. Dan semua individu yang boleh berfikir secara rasional akan memahami bahawa konteks negara Malaysia ini tidak dapat menerima agenda LGBT.
“Dalam keadaan negara mempunyai amat banyak kepincangan yang sedang diperbaiki sekarang, tindakan mementingkan diri sendiri lebih daripada suasana masyarakat boleh
membawa kepada gagalnya reformasi pembaikkan yang mahu kita bawa untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam satu himpunan dan perarakan Women’s March yang diadakan hari ini, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti `Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.
Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut semalam, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut.- UTUSAN ONLINE











