KUALA LUMPUR 9 Mac – Pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac nanti akan membawa negara Asia Tenggara itu ke arah demokrasi yang lebih matang dan mapan.
Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn berkata, amalan demokrasi di negara itu sejak 1932, akan menjadikan ia lebih mantap serta mengukuhkannya lagi bagi memperkasakan nilai demokrasi.
“Sudah tentu, seperti (negara) lain, selalu terdapat halangan serta kekangan tetapi saya fikir Thailand dan rakyatnya telah menunjukkan mereka sentiasa bersedia melakukan lonjakan ini. Thailand mempunyai idea tersendiri tentang cara memupuk demokrasi ke arah lebih mapan dan stabil. Kestabilan juga sangat penting.
“Melihat kepada perkembangan demokratik itu, cabaran sering dilalui setiap kali berlakunya peralihan sementara tetapi akan kembali semula ke landasan bersama dengan komitmen lebih teguh. Keadaan sama akan dapat dilihat pada pilihan raya umum kali ini,” katanya.
Narong berkata demikian ketika ditemu bual Bernama pada hari pengundian awal untuk pengundi luar negara di Kedutaan Thailand di Malaysia di sini hari ini.
Proses pengundian itu bermula dari 8 pagi hingga 5 petang.
Seramai 5,183 rakyat Thailand telah mendaftar sebagai pengundi luar negara di Malaysia.
Proses pengundian awal berlangsung di Johor Bahru, Kuching dan Kota Bharu di unit mudah alih berasingan semalam, dan di Kuala Lumpur serta di pejabat konsulat di Pulau Pinang dan Kuantan hari ini.
Keseluruhan seramai 119,184 rakyat Thai yang menetap di luar negara mendaftar sebagai pengundi luar negara dalam pilihan raya yang pertama sejak rampasan kuasa tentera 2014.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand, pengundi di luar negara boleh mengundi dari 4 hingga 16 Mac. – BERNAMA











