Ku simpan rahsia ini... - Utusan Malaysia

Ku simpan rahsia ini…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mata sudah mengantuk. Tangan memegang stereng, tapi fikiran sejak tadi asyik teringatkan bantal. Letih sangat badan saya kerana sudah hampir dua minggu kami bekerja lebih masa untuk menyiapkan laporan kewangan tahunan. Dua hari lagi mesti siap sepenuhnya.

Masalahnya, sudahlah syarikat logistik tempat saya bekerja ini keuntungannya merosot teruk, pihak atasan pula mengesan beberapa kes penyeleweng dalam kalangan pengurus dan kakitangan. Itu sebabnya banyak kerja perlu kami siapkan untuk dibentang dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan.

Hujan renyai masih belum reda pada pukul 12 tengah malam penghujung tahun 2008. Saya dari arah pusat bandar Kuala Lumpur, menggunakan Jalan Sungai Besi. Akibat hendak cepat sampai ke rumah di Kajang, saya memandu agak laju sewaktu menuruni laluan bertingkat di situ, sebelum selekoh masuk ke jalan utama menuju ke Bandar Tun Razak dan Taman Connaught.

Memuatkan artikel berkaitan…
 

Jalan ini curam, ia kemudian membelok ke Sri Petaling dan di selekoh itu juga ada laluan masuk ke Bandar Tun Razak. Dari arah kiri pula terdapat sebatang jalan dari Salak Selatan. Ketiga-tiga jalan ini bertembung di satu tempat. Oleh sebab itu setiap pemandu perlu berhati-hati apabila sampai di sini. Mesti bertolak ansur untuk mengelakkan kemalangan. Ketika inilah ia terjadi…

KEMALANGAN

Sewaktu hendak memasuki selekoh ke Taman Connaught, tiba-tiba saya lihat ada sebuah motosikal ditunggang laju dari arah Salak Selatan. Sepatutnya, dia perlahankan motosikalnya untuk beri laluan kepada saya, tetapi tidak berlaku. Dia terus memecut dan melintas di hadapan kereta saya, seolah-olah saya tidak wujud.

Kelam-kabut saya menekan brek , namun kerana jalan yang basah, saya tidak sempat mengelak, dan….

BBAAAMMMM!!

Motosikal itu terpelanting. Lebih malang lagi, oleh kerana saya menekan brek secara mengejut, kereta belakang tidak sempat mengelak dan beberapa saat kemudian, BAAMM… ia melanggar but kereta saya.

Motosikal itu terseret kira-kira 10 meter. Kelam-kabut saya turun dan berlari ke hadapan kereta, tapi sampai di situ saya terpinga-pinga. Kaki terpaku di atas jalan. Saya tinjau di bawah kereta, kemudian di tepi sekelilingnya, tapi…

“Kenapa encik brek mengejut tadi? Saya tak sempat elak…” kata seorang lelaki Cina yang datang dari arah belakang.

Dia adalah pemandu kereta yang melanggar bahagian belakang kereta saya. Lelaki Cina itu meminta maaf kerana tidak sempat menghentikan keretanya, tetapi dia hairan kenapa saya membrek secara mengejut dan sekarang, saya kelam-kabut ke sana dan ke mari macam mencari sesuatu.

“Saya cari motosikal dan penunggangnya yang saya langgar tadi, tapi tak ada,” jawab saya cemas.

Lelaki Cina itu tercengang.

“Encik, mana ada motosikal. Kereta saya kan di belakang kereta encik, saya tak nampak encik langgar apa-apa pun. Yang saya nampak encik tiba-tiba brek mengejut. Nasib baik saya jauh sikit, sempat tekan brek. Langgar pun tak banyak,” katanya.

Saya pandang muka lelaki Cina itu. “Tadi memang ada motor datang dari sana, laju, terus lintas depan saya. Patutnya dia brek dulu, kasi saya jalan sebab ini jalan utama. Saya dah brek, tapi tak sempat, jalan licin, terus hantam itu motor,” terang saya kepadanya.

Lelaki Cina itu gelengkan kepala. Berulang kali dia katakan, tidak ada motosikal yang datang dari Salak Selatan dan melintas di hadapan kereta saya. Saya yang tiba-tiba saja menekan brek mengejut.

“Kalau lu ada langgar motor, mana itu motor?” dia bertanya.

Ya, itulah yang membingungkan saya sekarang. Motosikal yang saya langgar itu ghaib tidak tahu ke mana. Saya sudah tinjau di bawah kereta dan di tepi jalan, memang tidak ada. Serpihan kaca mahu pun bahagian motosikal yang pecah akibat kemalangan, juga tidak ada. Tak mungkin saya silap sebab kawasan simpang dan selekoh itu diterangi lampu jalan.

Bagaimana dengan kereta saya? Hairan, kereta Honda City hitam saya pun tidak rosak. Lampu, bumper, nombor plat, semuanya elok. Tidak ada yang pecah, tidak ada yang kemek. Malah, segaris calar pun tidak ada.

“Tadi bunyi langgar, banyak kuat. Saya nampak motor itu terpelanting, orang yang bawak pun jatuh atas jalan,” saya terangkan berulang kali kepada lelaki Cina berkenaan. Namun dia hanya menggelengkan kepala. Tidak ada, katanya.

Saya periksa bahagian belakang kereta, nasib baik tidak kemek. Hanya calar sedikit saja. Memanglah dari segi undang-undang, pemandu yang langgar dari arah belakang dianggap bersalah, tapi dalam hal ini, saya akui, saya menjadi punca.

Hendak diadu kepada polis, kami tidak jumpa apa-apa tanda kemalangan. Hendak menuntut dengan syarikat insurans, sedikit sangat kerosakannya. Lalu kami bertukar nombor telefon dan memandu pulang.

LELAKI

Mata yang sebelum ini mengantuk, kini jadi segar. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah saya di Kajang, fikiran asyik memikirkan apa yang telah terjadi. Saya sampai di rumah sekitar pukul 1.15 pagi. Isteri bukakan pintu pagar dan saya mengundurkan kereta masuk ke garaj. Saya lebih suka cara mengundur kerana lebih lurus dan esok mudah untuk keluar bekerja.

Saya ambil beg, kemudian masuk. Isteri saya mengunci pagar dan seketika kemudian saya dengan dia menjerit.

“Abang! Abang!” Dia berlari masuk mendapatkan saya dengan muka pucat dan nafas termengah-mengah.

“Kenapa ni?” saya bertanya, terkejut dengan jeritannya itu.

Isteri saya tidak mampu bercakap, hanya menuding jari ke arah garaj. Dia menolak saya supaya keluar dan melihat kereta. Berulang kali saya tanya, kenapa, namun isteri saya tidak menjawab. Dia hanya menolak badan saya supaya melihat kereta saya itu.

Saya keluar dan tinjau sekeliling kereta, tiada apa-apa yang pelik. Saya masuk semula, ambil kunci dari tangan isteri, tutup gril dan pintu, kemudian masuk ke bilik. Saya tanya kepada isteri, kenapa dia menjerit macam tadi? Inilah jawapannya.

Kata isteri saya, sewaktu mahu mengunci gril pintu, dia terkejut melihat ada seorang lelaki berpakaian gelap di kerusi belakang kereta saya. Sebelah kiri mukanya hancur dan berdarah. Itu yang menyebabkan isteri saya menjerit dan berlari mendapatkan saya.

 

DARAH

Sepanjang malam itu saya sukar terlelap. Ada waktunya saya terasa hendak ceritakan apa yang berlaku tadi, tetapi bimbang pula akan menakutkannya. Akhirnya saya cakap dengan isteri saya, mungkin dia tersilap pandang. Mungkin yang dilihatnya itu adalah pantulan imej objek di sekeliling kereta.

“Abang, saya tak salah pandang. Memag sah saya nampak…” tegasnya berulang kali. Isteri saya memang benar-benar takut.

Saya diamkan saja dan kisah dan hanya saya ceritakan kepadanya pada hari minggu beberapa hari kemudian. Saya ceritakan tentang kemalangan itu, tentang motosikal yang saya langgar tetapi hilang begitu saja, juga kereta lelaki Cina yang melanggar dari arah belakang.

Setelah itu baru saya ceritakan kepada isteri bahawa, saya sebenarnya percaya apa yang dilihatnya, iaitu ada lelaki cedera di bahagian kepala duduk di kerusi belakang kereta saya. Sebab, selepas kemalangan itu, sebenarnya beberapa kali saya terbau hanyir seperti darah. Seolah-olah ada darah segar di dalam kereta saya.

Saya menjeling cermin pandang belakang, manalah tahu ada ‘sesuatu’ yang menumpang. Tidak nampak apa-apa. Walaupun tidak melihat sebarang jelmaan, tetapi hati saya berkata, ia sebenarnya ada di dalam kereta saya. Hanya mata kasar saja yang tidak dapat melihat.

Berulang kali membaca ayat-ayat suci al-Quran, bau itu tetap datang bersama tiupan angin dari arah belakang. Seolah-olah ada seseorang sedang bernafas di belakang saya, hinggalah sampai di rumah. (M. Rashidi, Kajang, Selangor.)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini