30 MAC, 'GEGARAN' ARTIS BERSAMA MHE - Utusan Malaysia

30 MAC, ‘GEGARAN’ ARTIS BERSAMA MHE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DETIK 30 Mac 2019, tarikh yang anda semua perlu berikan perhatian. 

Bertempat di Dewan Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Media House Entertainment (MHE) bakal membawakan pelbagai acara menarik kepada pelbagai pihak. 

Orang ramai boleh menyertai acara yang akan bermula sedari pukul 9 pagi ini, seharian. 
Program Pembangunan Usahawan Penggiat Seni bakal menjadi acara utama diikuti dengan Ronggeng MHE, juga  pertandingan akhir Worldstars Championship Road To Hollywood (Wcopa). 

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap tentang pengaruh golongan selebriti, tidak dinafikan golongan ini harus memanfaatkan sepenuhnya  peluang bagi meraih pendapatan lebih lumayan pada masa depan.

Kedudukan mereka dalam profesion glamor dan dikenali ramai ketika usia masih muda wajar digunakan sepenuhnya untuk pembabitan dalam bidang keusahawanan, demi masa depan yang lebih cemerlang pada usia tua mereka.

Menerusi sokongan penuh daripada Kementerian Pembangunan Usahawan secara tidak langsung memudahkan laluan bagi kalangan artis  untuk bergelar ahli perniagaan berjaya.

Justeru Media House Entertainment (MHE menganjurkan program Pembangunan Usahawan Penggiat Seni pada tarikh tersebut.

Organisasi hub hiburan seranta ini bakal menjadi pengantara pihak Kementerian dengan artis dan  selebriti yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

Program ini akan dirasmikan sendiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang akan meluangkan masa sepetang bersama yang hadir. 

Segmen ini akan menjadi medan pengumpulan maklumat kepada artis dan mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan.

Peluang itu terbuka bukan sahaja kepada individu yang telah menjalankan perniagaan malah buat yang sedang berjinak-jinak dalam perniagaan. Untuk yang masih ragu-ragu tentang hala tuju perniagaan yang hendak diceburi, mereka turut dialu-alukan ke program ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Program yang dianjurkan ini adalah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan golongan selebriti. Sesi perbincangan antara Menteri dengan golongan selebriti akan diadakan secara santai selepas majlis berakhir, kita namakan sebagai Kopi Kopi Bersama Pak Wan. 

“Di situ, mereka boleh menanyakan apa sahaja persoalan berkaitan bidang perniagaan. 

“Semua jenis maklumat akan disalurkan pada satu tempat kerana semua agensi kementerian terbabit akan hadir untuk menyalurkan maklumat,” kata Pengarah Urusan MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar. 

Antara agensi yang bakal terbabit dalam majlis berkenaan adalah Tekun Nasional dan Bank Rakyat di bawah Kementerian turut hadir memberi penerangan tentang fungsi agensi di bawah Kementerian demi kebaikan bersama.

Objektif utama program Pembangunan Usahawan Penggiat Seni ini adalah untuk memberi peluang perniagaan bersesuaian untuk diceburi penggiat seni. 

Selain itu, ia memberi ruang kepada pihak Kementerian memberi penerangan tentang geran, bantuan atau khidmat nasihat berkaitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini