BERA 9 Mac – Cuaca panas terik tidak menghalang kira-kira 500 umat Islam di daerah ini mengadakan perhimpunan aman di Dataran Kerayong di sini bagi membantah penghinaan terhadap Rasulullah SAW.
Perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 2.30 petang itu dihadiri umat Islam termasuk wakil UMNO dan Pas serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perhimpunan aman itu merupakan amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak terus melakukan penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah SAW.
“Cukup-cukuplah, jangan sampai orang Melayu Islam bangkit lebih daripada berhimpun tetapi mengambil tindakan undang-undang sendiri yang tentu sahaja akhirnya menjadikan keadaan huru hara.
“Orang Melayu ada tahap kesabarannya. Betul kita orang Melayu sangat lemah lembut jiwanya berbanding orang lain tetapi kita ada had. Jangan tolak kita sampai ke dinding kerana kalau tolak sampai ke dinding kita akan melawan balik,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan berkenaan.
Yang hadir sama Timbalan Yang Dipertua Pas Bera, Mohd. Shahrul Mohamad dan pemimpin pelbagai NGO. – UTUSAN ONLINE











