JOHOR BAHRU 9 Mac – Polis menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri ketika diarahkan memberhentikan kereta di Jalan Danga Pertama, Kawasan Perniagaan Danga Pertama dekat Tampoi di sini malam tadi dan menemukan dadah dan pisau dalam keretanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Mohd.Taib Ahmad berkata, ketika polis membuat rondaan pada pukul 7.15 malam, polis mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, polis mengarahkan suspek sebanyak tiga kali untuk memberhentikan kenderaan dengan menggunakan pembesar suara namun tidak diendahkan.
“Suspek yang enggan memberhentikan kereta bertindak memandu secara berpusing-pusing di kawasan Jalan Pertama Danga Utama. Pasukan peronda (MPV) kemudiannya meminta bantuan daripada beberapa MPV lain untuk mengejar suspek.
“Polis peronda bersama-sama tiga MPV lain mengejar kenderaan suspek yang memandu melawan arus dan memandu secara agresif dan hampir melanggar beberapa kenderaan awam sebelum melanggar kenderaan MPV polis ketika mengundurkan kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd. Taib berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan selepas polis menggunakan kekerasan yang minima.
“Pemeriksaan ke atas kereta suspek mendapati serangkai kunci dan sebilah pisau berhulu warna hitam yang dibalut kain berwarna emas yang disorokkan dalam kereta suspek.
“Turut ditemui ialah satu peket berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran 8.33 gram (g) dan satu peket hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 11.22g,” katanya.
Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan pecah rumah seperti pemutar skru, pemotong dasai dan playar muncung tirus.
“Siasatan mendapati suspek melarikan diri kerana bimbang ditahan kesalahan memiliki dadah. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine,” katanya. – UTUSAN ONLINE











