KUALA LUMPUR 9 Mac – Bintang ski air sensasi negara, Aaliyah Yoong Hanifah melakar keputusan terbaiknya dalam Kejohanan Remaja Moomba apabila meraih dua pingat perak di Melbourne, kelmarin.
Atlet remaja berusia 15 tahun itu bangkit daripada dua kegagalan pada Kejohanan Ski Air Oceania di Latrobe, minggu lalu untuk mengutip 7,230 mata dalam acara tricks dan keseluruhan di Sungai Yarra.
Acara itu dimenangi juara tricks dunia, Neilly Ross dari Kanada yang mengutip 8,790 mata manakala peluncur Chile, Josefa Gonzalez menduduki tempat ketiga dengan 4,880 mata.
Pingat perak itu juga bermakna Aaliyah menyamai pencapaiannya pada 2014 dan 2015, juga dalam acara tricks.
Sementara itu, dalam acara keseluruhan, Aaliyah mengumpul 2,668.74 mata untuk merangkul pingat perak.
Pingat emas acara keseluruhan dimenangi juara remaja dunia dari Australia, Sade Ferguson dengan 2,677.73 mata manakala rakan senegaranya, Layne Moroney (1,742) di tempat ketiga.
“Saya sangat gembira dapat menyaingi juara remaja dunia Sade dalam acara jump bagi keseluruhan memandangkan dia pilihan untuk gelaran remaja dunia pada 2020. Ini adalah pengukur yang saya sasarkan.
“Terlepas pingat emas dalam acara keseluruhan kepada Sade dengan hanya beberapa mata menunjukkan saya pasti mampu mencabar bagi gelaran remaja dunia keseluruhan tahun depan,” kata Aaliyah, yang bersedia untuk menaiki podium pada Kejohanan Remaja Dunia 2020.
Aaliyah akan berehat untuk memberi tumpuan kepada peperiksaan pada Mei dan akan kembali mengikuti latihan intensif selepas itu bagi persediaan acara utama pada Ogos, Kejohanan Ski Air Dunia di Putrajaya. – UTUSAN ONLINE











