KUALA LUMPUR 9 Mac – Kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bahawa kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan membuktikan ketakutan DAP kepada kesatuan ummah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut mengkritik keceluparan Kor Ming yang dilihat tidak mempunyai sifat sensitif mengungkapkan perkara berkenaan.
“Kalau benar Kor Ming kata Malaysia akan jadi Taliban apabila UMNO dan Pas memerintah, maka terserlah lagi ketakutan DAP kepada kesatuan ummah dan menyerlahkan sikap sebenar DAP terhadap agama Islam.
“Hal ini juga menunjukkan propaganda DAP untuk menakutkan dan menyemai rasa tidak selamat kepada rakyat supaya orang ramai terus menyokong parti itu,” katanya dalam Twitter miliknya hari ini.
Kor Ming dalam satu majlis di Taiping, Perak dilaporkan berkata kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah-belahkan rakyat.
Katanya dalam laporan Malaysia Gazette yang memetik akhbar Kwang Wah Yit Poh, rakyat akan menderita apabila UMNO dan Pas membentuk kerajaan kerana keadaan itu disifatkan sebagai tiada patah balik. – UTUSAN ONLINE











