KUALA KANGSAR 9 Mac – Dakwaan kerjasama UMNO dan Pas akan memecah-belahkan rakyat serta menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban jika berjaya membentuk kerajaan adalah fitnah lama yang diulang bagi menggambarkan pemerintahan mengikut lunas Islam adalah bersifat keras dan menindas.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming itu merupakan satu ketakutan kepada sejarah baharu melibatkan kerjasama rapat antara Pas dan UMNO yang diyakini akan terus kukuh sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Bukan hanya beliau (Kor Ming), malahan hampir keseluruhan pemimpin Pakatan Harapan telah mengeluarkan kenyataan pelik-pelik termasuk bosnya, Lim Guan Eng yang membuat kenyataan rasis dan menimbulkan kemarahan kerana ia tidak layak timbul dari seorang menteri dalam negara kita.
“Dan dia (Mat Sabu) pertahankan itu, maknanya benarlah apa yang kita kata bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) ini tidak lebih daripada dilahirkan oleh DAP. Setiap kali DAP cakap tidak betul, dia tolong ‘syarah’, kerja dia adalah tukang ‘syarah’ apa yang orang Islam tidak faham mengenai DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kuala Kangsar di sini hari ini.
Nik Mohamad Abduh berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kor Ming yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini dengan memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh sewaktu pemimpin DAP itu menghadiri aktiviti sempena sambutan Hari Wanita di Kampung Aulong, Taiping pada Jumaat lalu.
Kor Ming antara lain dilaporkan berkata, pembentukan kerajaan UMNO dan Pas merupakan satu senario ‘tiada patah balik’ serta menyebabkan rakyat menderita, justeru menggesa golongan berfikiran sederhana untuk bersatu menghalakan pemerintahan negara ke arah pendekatan sederhana dan bukannya ekstrim.
Menurut Nik Mohamad Abduh, Pas telah berpuluh tahun membuktikan bahawa tiada penindasan dalam pemerintahannya di Kelantan, malahan negeri itu telah menjadi inspirasi kebangkitan pembangkang di Pulau Pinang dan Perak pada tahun 2008.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata, adalah lebih baik untuk Pas berbaik dengan UMNO yang sedar diri dan mengaku kesalahan mereka selepas kalah berbanding Pakatan Harapan bersikap sombong selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Apabila mereka (Pakatan Harapan) menang, mereka tinggalkan kewajipan terhadap Allah dan negara. Mereka mengangkat perjuangan yang langsung tidak ada kalimah untuk menegakkan agama Allah.
“UMNO hendak bangkit tetapi dia tidak boleh bangkit berseorangan dan akhirnya mereka kata teman mereka adalah Pas. Mereka konsisten bersama kita, menerima, mengakui segala kesalahan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











