Hasutan berbaur perkauman melampau DAP - Najib - Utusan Malaysia

Hasutan berbaur perkauman melampau DAP – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mac – Beberapa hari selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kerjasama UMNO-Pas sebagai pengisytiharan perang kepada orang bukan Melayu, kini Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pula didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Kenyataan Kor Ming bahawa Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kerjasama UMNO dan Pas berjaya memerintah negara juga disifatkan hasutan yang melampau.

Demikian penegasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut mahu DAP berhenti melaga-lagakan rakyat terutama orang Islam dan bukan Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, UMNO dan Pas pernah bekerjasama dahulu dan negara berada dalam keadaan aman dan terus makmur, tidak seperti yang digambarkan Kor Ming.

“UMNO, Pas, MCA dan MIC merupakan antara sembilan parti pengasas apabila Barisan Nasional (BN) ditubuhkan pada tahun 1974. UMNO-Pas pernah bekerjasama dahulu dan negara terus makmur.

“Cukup-cukuplah DAP, hentikan permainan hasutan perkauman anda. Hentilah melaga-lagakan rakyat bukan Islam dengan orang Islam dan sudah tentulah tiada tindakan terhadap pemimpin DAP ini untuk bebas keluarkan kenyataan seumpama ini,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Kor Ming dalam satu majlis di Taiping, Perak dilaporkan berkata kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah-belahkan rakyat.

Katanya dalam laporan Malaysia Gazette yang memetik akhbar Kwang Wah Yit Poh, rakyat akan menderita apabila UMNO dan Pas membentuk kerajaan kerana keadaan itu disifatkan sebagai tiada patah balik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini