KUALA LUMPUR 9 Mac – Pendekatan membenarkan pemeriksaan dari pintu ke pintu melibatkan 3,652 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam 2, Cheras di sini membuah hasil apabila perumahan itu mencatatkan kes sifar denggi.
Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Alam 2, Hisham Ghazali, 51, berkata, turut dilakukan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan bertingkat itu pada setiap minggu.
“Pada tahun lalu, PPR Seri Alam 2 telah mencatatkan sebanyak 30 kes denggi dan pada tahun ini kami memasang azam tidak ada lagi kes denggi ‘menyerang’ kawasan perumahan di sini.
“Pendekatan ini ternyata berkesan dan kami akan meneruskan usaha ini dengan kerjasama pasukan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya ditemui selepas program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 di sini, pagi tadi.
Lebih 600 penduduk bersama-sama menyertai program gotong-royong berkenaan melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan persekitaran dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes. – UTUSAN ONLINE











