KLANG – Seorang pengurus akauntan diburu selepas disyaki terlibat kes pecah amanah sebuah syarikat pembinaan melibatkan kerugian kira-kira RM4.4 juta.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki dikenali Hoh Kian Kuen berusia 49 tahun didapati telah menghilangkan diri sejak 19 Januari lalu.
Beliau berkata, kejadian itu disedari pengurus bahagian sumber manusia syarikat itu pada 1 Mac lalu.
“Hasil siasatan dalaman syarikat berkenaan mendapati pengurus itu disyaki telah menggelapkan wang syarikat kira-kira RM4.4 juta.
“Lelaki itu didapati telah bekerja dengan syarikat tersebut sejak 15 Jun tahun lalu dan ditugaskan untuk mentadbir bahagian perakaunan serta menguruskan hal kewangan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shamsul Amar menambah, Kian Kuen didapati tidak datang bekerja sejak 19 Januari lalu selain meminta bantuan kewangan dari syarikat sebanyak RM45,000 bagi membiayai kos pembedahan jantungnya di Singapura.
Begaimanapun, beliau menegaskan semakan lanjut mendapati lelaki itu telah disyaki membuat beberapa tuntutan palsu yang dimasukkan ke akaun peribadinya dan akaun individu lain.
Justeru, Shamsul Amar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali Kian Kuen boleh menyalurkan maklumat kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Superintendan Rafi Arifai di talian 012-2404 749 atau mana-mana balai berdekatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











