KUALA LUMPUR 9 Mac – Kes denggi di negara ini terus menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga bulan pada tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan ketara kes dan kematian pada 10 minggu pertama minggu ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, secara kumulatif kes denggi dilaporkan dari Januari hingga 7 Mac lalu sebanyak 28,580 kes berbanding 11,146 kes pada tempoh sama tahun lalu, mencatatkan peningkatan 156.4 peratus.
“Jumlah kematian akibat denggi pula sebanyak 49, berbanding 26 kes pada tahun lalu iaitu peningkatan 88.5 peratus.
“Manakala kes denggi di Wilayah Persekutuan-Putrajaya direkodkan iaitu 2,849 kes dari Januari hingga 7 Mac lalu iaitu peningkatan 337 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan satu kematian,” katanya.
Dzulkefly berkata demikian semasa sidang akhbar dalam program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 2, Cheras di sini, pagi tadi.
Katanya, tindakan bersepadu gotong-royong secara besar-besaran di seluruh negara perlu dilaksanakan segera bagi mengekang wabak dan kematian denggi.
“Oleh itu, penglibatan penduduk setempat, persatuan penduduk, pasukan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi), sukarelawan dan lain-lain agensi amat diperlukan bagi penghapusan tempat pembiakan Aedes,” katanya. – UTUSAN ONLINE











