KUALA LUMPUR 8 Mac – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mencadangkan agar setiap sekolah membangunkan pelan tindakan kecemasan bagi mengurangkan impak kecederaan serta kemalangan yang bakal berlaku.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, NIOSH sedia membantu dalam menyediakan perkhidmatan rundingan dan latihan untuk membangunkan pelan tersebut bagi menghadapi situasi kecemasan seperti kes pencemaran bahan kimia berdekatan sekolah semalam.
“Sekiranya memang benar terdapat unsur pencemaran bahan kimia yang disebabkan pembuangan oleh pihak tertentu maka ia perlu diselidik, siasat diikuti tindakan undang-undang

terhadap pihak bertanggungjawab.
“Manakala bagi pihak sekolah, peranan yang boleh dilaksanakan ialah dengan menjayakan program OSH in School yang diwujudkan oleh NIOSH. Antara elemen yang ada dalam program itu ialah membangunkan pelan tindakan kecemasan.
“Saya harap semua sekolah menubuhkan pelan tindakan kecemasan demi keselamatan dan kesihatan semua pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.











