ARAU 8 Mac – Keputusan MCA dan MIC untuk kekal bersama Barisan Nasional (BN) merupakan langkah tepat yang bakal menguatkan lagi gabungan tersebut termasuk dengan kerjasama Pas.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, MCA dan MIC menghormati langkah UMNO bekerjasama dengan Pas demi perpaduan ummah.
Katanya, apabila Melayu dan Islam tidak berpecah belah suasana akan bertambah harmoni di negara ini.
“MCA hormati apabila Melayu bersatu, hendak takut apa, kerjasama UMNO Pas ini bukan pengganas. Kita kena ambil pendekatan baik sangka dengan kerjasama ini.
“Apabila ada sifat buruk sangka itu akan menyebabkan rasis itu berlaku, padahal kita hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
MCA dan MIC kekal bersama BN ekoran tiada sebarang konsensus dicapai mengenai pembubaran BN semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung hari ini.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, menerusi mesyuarat tersebut MCA ada membawakan resolusi mengenai pembubaran BN namun tiada konsensus dicapai mengenai perkara berkenaan.
Namun begitu jelasnya, BN telah mengambil berat tentang satu lagi resolusi yang dibawa oleh MCA iaitu untuk sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menstruktur semula gerak kerja BN bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15.- UTUSAN ONLINE











