KUALA LUMPUR 8 Mac – Seramai 225,000 pembayar cukai sehingga kini telah menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) fasa pertama yang akan tamat pada 31 Mac ini, iaitu progam yang dilancarkan oleh dalam usaha mengurangkan ketirisan hasil negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah berkata, PKPS yang bermula pada 3 November 2018 dan akan tamat pada 30 Jun 2019 menawarkan pengurangan kadar penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya pengakuan dibuat dalam fasa pertama iaitu antara 3 November 2018 sehingga 31 Mac 2019.
Seterusnya kata beliau, pengurangan kadar penalti kepada 15 peratus jika pengakuan dibuat di dalam fasa kedua yang bermula 1 April 2019 sehingga 30 Jun 2019.
Kata beliau, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada tahun lalu, kerajaan komited dalam usaha mensejahterakan rakyat serta mengurangkan ketirisan hasil negara, dan untuk tujuan itu PKPS dilancarkan.
Jelasnya, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan lebih 100 buah negara di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) berhubung maklumat kewangan, khususnya pemilikan akaun bank dan telah mula menerima maklumat ini mulai bulan September 2018.
“Sehingga kini, LHDN telah menerima lebih daripada 455,000 bilangan akaun bank yang telah dibuka oleh rakyat Malaysia yang diterima daripada 57 buah negara.
“Oleh itu, PKPS menawarkan penyelesaian cukai kepada mereka yang mempunyai akaun bank di luar negara hasil daripada pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia tetapi pendapatan tersebut masih belum dilaporkan kepada LHDN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Sabin, surat dan emel pemakluman kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara juga sedang dalam proses untuk dikeluarkan oleh LHDN.
“Justeru, kerajaan menyeru kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara yang menerima surat pemakluman dari LHDN ini agar segera tampil di mana-mana cawangan LHDN untuk memberikan penjelasan dan seterusnya menyertai PKPS sekiranya perlu.
“Namun pada masa yang sama, kerajaan mengalu-alukan pengakuan sukarela, jika ada, daripada pembayar cukai yang tidak mempunyai akaun di luar negara tetapi masih mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia dan masih belum lagi dilaporkan kepada LHDN.
“Pembayar cukai di dalam kategori ini masih lagi layak untuk menikmati pengurangan penalti kepada 10 peratus atau 15 peratus sekiranya menyertai PKPS,” katanya.
Beliau berkata, pembayar cukai dinasihatkan segera merebut peluang yang ditawarkan dan tidak menunggu sehingga ke saat terakhir program ini.
“Kepada mereka yang telah membuat pengakuan sukarela melalui program ini bagi pelaporan Tahun Taksiran 2017 dan tahun-tahun Taksiran sebelum ini, LHDN akan menerima pengakuan yang telah dibuat ini dengan suci hati dan tindakan audit atau siasatan tidak akan dijalankan pada masa hadapan bagi tempoh pengakuan sukarela tersebut,” katanya.-UTUSAN ONLINE











