KUALA LUMPUR 8 Mac – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan keraguan pihak tertentu terhadap parti beliau, sekiranya mampu mengumpul dana kewangan secara halal sehingga RM90 juta.
Katanya, perkara itu tidak pelik sebab keahlian Pas kini telah mencecah lebih sejuta ahli di seluruh negara.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kekuatan dan pengikut Pas semakin bertambah serta mempunyai ahli parti yang ikhlas memberi sumbangan.
“Kita telah menghadapi satu fitnah. Fitnahnya ialah kita terima duit banyak. Tidak ada duit pun tidak boleh, banyak duit pun tidak boleh. Dia hendak kita ini ‘mati kering’.
“Alhamdulillah, Allah beri rezeki kepada kita. Rezeki yang halal, bukan rezeki yang haram. Kekuatan kita makin bertambah, pengikut-pengikut kita makin bertambah ramai.
“Ahli Pas sekarang ini satu juta lebih, dan kalau RM100 seorang sudah RM100 juta. Pelik apa dengan RM90 juta, RM900 juta pun tidak pelik,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Harakah Daily hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena program Munajat dan Solat Hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu, ‘Isu Fitnah Terhadap Pas’ di Masjid Rusila, Marang malam tadi.
Abdul Hadi juga menjelaskan , sumber kewangan parti adalah ikhlas daripada ahli-ahli dan pendukung Pas yang ramai di seluruh negara.
“Mereka hairan mengapa kita boleh bertanding kerusi dengan begitu banyak, peduli apa itu hal kita. Ikut pandai kitalah, jadi orang susah dengan hal kita.
“Kita pandailah cari, yang penting ialah pendapatan yang halal dan sumbangan yang ikhlas daripada pengikut-pengikut kita dari pelbagai peringkat, yang percaya janji (Allah) adanya pahala menolong perjuangan Islam ini.-UTUSAN ONLINE











