SHAH ALAM – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengakui Pakatan Harapan (PH) sukar untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pada 13 April ini.
Justeru, beliau berkata, PH perlu bekerja lebih keras bagi menawan kerusi yang dianggap kubu kuat UMNO tersebut.
“Anggapan rakyat bahawa PH adalah hamba DAP masih kuat selain pihak lawan menggunakan ayat al-Quran (dalam ceramah).
“Oleh demikian, PH kena ambil perhatian dan perlu berjaga-jaga supaya tidak timbul persepsi yang salah…ini kerana pihak lawan memang kerja mereka menimbulkan persepsi sebegitu,” kata Mohammad yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Bicara Minda Bersama Menteri Pertahanan anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Kompleks Karangkraf di sini. – Bernama











